:: Bicara Pemuda ::

 

Monday, September 10, 2007
PAS, Islam dan politik
Oleh Lujnah Penerangan dan Dakwah PAS Pusat

Pihak musuh menuduh bahawa PAS menggunakan agama untuk kepentingan politik.

Tuduhan yang demikian mendedahkan bahawa mereka adalah jahil tentang hakikat Islam ataupun pemikiran mereka dipengaruhi oleh idea gerakan musuh Islam yang sentiasa berusaha mengelirukan umat Islam tentang hakikat agamanya, supaya dengan itu mereka akan dapat melemahkan umat Islam dan menguasainya.

Sejarah membuktikan bahawa kuasa penjajah tidak pernah mengalahkan umat Islam ketika mereka berpegang teguh dengan ajaran agamanya.

Sejarah juga menceritakan umat Islam telah ditewaskan oleh musuh Islam yang berlaku di Sepanyol apabila para pemerintah pada masa itu mabuk dan begitu bermegah dengan pembangunan dan kemajuan yang dicapai tetapi cara hidup masyarakat dan sistem pemerintahan mereka telah lari jauh dari ajaran Islam.

Suara sumbang yang cuba menyisihkan politik dari Islam sebenarnya pernah disuarakan oleh seorang hakim Mesir lepasan Al-Azhar yang bernama Syeikh Ali Abdul Raziq di abad ini.

Ali Abdul Raziq yang menjadi tali barut Inggeris telah menulis dalam bukunya Al-Islam wa Usul Al-Hukm yang secara jelas telah memisahkan urusan negara dari agama.

Pihak Inggeris telah menterjemahkan buku tersebut ke beberapa bahasa, kerana diyakini buku itu akan dapat mempengaruhi minda umum yang akhirnya melemahkan inspirasi rakyat pada masa itu yang berjuang menegakkan Islam dan mahu Inggeris keluar dari negara mereka.

Pandangan Syeikh Abdul Raziq tadi telah ditentang oleh semua ulama Al- Azhar pada masa itu dan seterusnya ijazah yang dianugerahkan kepadanya ditarik balik oleh Al-Azhar manakala idea-idea yang ditonjolkannya tentang pemisahan agama dari negara telah juga disanggah oleh tokoh-tokoh ilmuan di dalam buku-buku mereka, seperti Profesor Dr Abdul Hamid Mutawalli "Mabadi Nizam Al-Hukm Fil-Islam.

Profesor Muhammad Dhiyauddin al-Rais" Nazariat al-Siyasah Al-Islamiyyah. Profesor Dr Muhammad al-Bahi "Pemikiran Islam Moden dan hubungannya dengan penjajah Barat.

Pada hujung 70-an lahir pula beberapa penulis cuba menimbulkan kembali idea lama Abdul Raziq yang pernah ditolak.

Mereka ialah Dr Muhammad Ammarah yang membawa idea tentang pemisahan agama dan politik.

Dr Selamat Musa yang pemikirannya terpengaruh dengan ajaran Kristian di dalam beberapa penulisannya telah berkali-kali menegaskan tentang dasar pemisahan negara dan politik dari agama.

Mengikut pandangannya agama diturunkan untuk tujuan kesejahteraan manusia di dalam penghidupan mereka di dunia, maka ianya tidak wajar dijadikan sebagai penghalang kepada aktiviti manusia di dalam hidup bermasyarakat dan negara.

Dr Selamat seterusnya mengemukakan pandangan bahawa apabila agama dicampur adukkan dengan politik, maka sudah semestinya agama tadi diperalatkan untuk kepentingan politik dan negara.

Seterusnya beliau menyatakan sikap taasub (fanatik) dan tidak bertolak ansur adalah natijah dari penglibatan ahli agama dalam politik dan mencampur adukkan di antara urusan agama dengan politik (Lihat Dr Abdul Azim Faudah "Al-Hukm Bima Anzalallah")

Pandangan di atas sebenarnya diceduk dari apa yang telah disuarakan dikurun pertengahan yang menuntut supaya dipisahkan gereja dan negara di Eropah.

Tuntutan di atas adalah berpunca dari peranan gereja yang menguasai masyarakat tetapi gagal mengatasi masalah yang dihadapi oleh masyarakat.

Ini adalah berpunca dari ajaran kristian itu sendiri yang menumpukan kepada persoalan kerohanian dan mengabaikan persoalan keduniaan dan negara.

Keadaan berbeza sekali dengan hakikat Islam. Islam adalah agama yang syumul, yang merangkumi semua aspek penghidupan rakyat dan masyarakat, yang melibatkan perkara-perkara berhubung dengan aqidah, ibadat, akhlak, kemasyarakatan, undang-undang, politik dan negara.

Apabila sistem perundangan Islam menentukan dasar pemerintahan dan politik negara, ia tidak memberi laluan secara mutlak kepada para pemimpin seperti khalifah atau Amirul Mukminin untuk melakukan sesuka hati.

Mereka adalah wajib tunduk kepada hukum dan dasar yang ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya.

Para khalifah dan pemimpin yang mengendalikan urusan politik negara pada hakikatnya adalah alat untuk kepentingan agama.

Dalam hubungan ini ingin diperingatkan bahawa bila kita bercakap tentang politik dan agama maka kita hendaklah mengenal pasti tabiat agama Islam dan agama lain terlebih dahulu.

Untuk membezakan yang mana satu agama dan yang mana satu politik di dalam perspektif Islam adalah merupakan sesuatu yang sukar.

Maka dengan sebab itu semua ulama Islam menegaskan Islam adalah agama dan negara. Syeikh Mahmud Syaltut, Syeikh Al-Azhar sendiri mengatakan Islam Ad-Deen wa Daulah" (Islam adalah agama dan negara).

Adalah perlu difahami bahawa setiap apa yang berkaitan dengan aqidah dan ibadat adalah agama, maka ia boleh dinamakan siasah Islam dalam ibadat, dan setiap perkara yang berkaitan dengan akhlak dan pendidikan adalah agama maka ia boleh dinamakan siasah Islam dalam pendidikan dan akhlak.

Setiap perkara yang berhubung dengan muamalat adalah agama maka ia boleh dinamakan siasah Islam dalam ekonomi dan masyarakatan, dan setiap perkara yang berhubung dengan sistem pemerintahan dan pentadbiran ummah di dunia juga agama maka ia adalah dinamakan sistem pemerintahan Islam dan pentadbiran negara (Lihat Dr Abdul Azim Faudah)

Konsep di atas memberi maklumat kepada kita bahawa ikatan agama dan negara merupakan satu salutan yang kukuh dan mantap.

Ia lebih merupakan ikatan di antara asas bangunan dengan bangunan itu sendiri. Agama adalah asas bagi negara dan pergarah tujunya.

Adalah tidak mungkin terbayang tertubuhnya sebuah negara tanpa agama dan tidak mungkin juga wujudnya agama tanpa berperanan dalam mengendalikan urusan masyarakat, dan politik negara, kerana kiranya hal ini tidak wujud atau diwujudkan maka tidak akan wujud apa yang dinamakan Islam. (Lihat Syeikh Mahmud Syaltut; Min Taujihat al-Islam)

Pihak Al-Azhar dalam siri penerbitannya "Haza Bayan lilnas" (Ini adalah Penjelasan Untuk Orang Ramai)secara tegas menyatakan: "Islam menyeru supaya wajib ditegakkan negara Islam bagi setiap masyarakat seperti mana yang berlaku di zaman Nabi s.a.w. dan para khulafa al-Rasyidin selepasnya. Dan dasar ini telah pun disepakati (ijma') oleh para ulama bagi setiap generasi."

Ibnu Taimiyyah di dalam bukunya "Assiyasah al-Syariyyah" menyatakan: Mengendalikan urusan orang ramai (rakyat) adalah kewajipan agama yang besar, dan agama tidak mungkin ditegakkan kecuali dengan kekuasaan memerintah.

Di dalam buku Ghiyas al-umam ditegaskan: Apabila menyempurnakan jenazah orang mati dikira sebagai fardu kifayah, maka mengendalikan urusan hidup mereka adalah lebih penting dan utama.... sesungguhnya Islam begitu sekali memerlukan kerajaan yang dapat berfungsi menegak dan memelihara agama, maka mewujudkan kerajaan Islam adalah sesuatu yang wajib untuk tujuan mengawal aqidah, mendirikan solat dan menghukum mereka yang meninggalkan rukun Islam, juga untuk tujuan mengawal negara, manusia dan kehormatan mereka (hudud) juga melakukan jihad, mendidik umat Islam, dan menegakkan sistem politik, ekonomi dan kebudayaan Islam. (Lihat Dr Mustafa Farghali: "Fi wajh al-Muamarah `Ala Tatbiq al-Syariah al-Islamiyyah")

Mengikut Al-Mawardi di dalam bukunya "Al-Ahkam al-Sultaniyyah" bahawa kerajaan Islam yang dikendalikan oleh khalifah selepas Rasulullah s.a.w. adalah berperanan menguruskan urusan umum negara yang melibatkan perkara agama dan dunia sebagai penyambung kepada tugas nabi.

Al-Mawardi seterusnya mendefinasikan tugas khalifah adalah memelihara agama dan menjalankan politik harian (Assiyasah al-dunia) dengan berasaskan agama.

Berdasarkan kepada fakta di atas PAS telah menjadikan Islam sebagai dasar perjuangannya dan untuk mencapai matlamatnya PAS telah, sedang dan akan terus berpandu serta mendukung dasar Islam dalam usahanya mewujudkan sebuah masyarakat dan negara yang di dalamnya terlaksana hukum Allah.

Bila menyentuh mengenai agama dan negara maka sudah semestinya akan melibatkan persoalan politik.

Dan dalam kontek ini PAS tidak ada pilihan lain kecuali melibatkan diri dengan sistem politik kepartian yang diwujudkan dinegara ini demi mencapai matlamat yang diperjuangkan selama ini.

Oleh kerana matlamat PAS adalah mewujudkan masyarakat yang dilaksanakan hukum Islam secara syumul di dalamnya, maka sudah sewajarnya landasan yang dilalui oleh PAS di dalam perjuangannya adalah Islam.

Maka PAS telah menonjolkan identitinya sebagai parti politik Islam sejak 44 tahun dulu.

Di sinilah wujudnya perbezaan di antara PAS dan parti-parti lain di negara ini di mana matlamat mereka bukan untuk penubuhan negara dan masyarakat Islam, maka memang sewajarnya mereka tidak menamakan Islam di dalam parti politik mereka.

Kiranya mereka juga mengambil nama Islam maka ia sudah pasti merupakan keganjilan dan bahan ketawa.

Pihak Umno selalu berhujah, bila PAS mendakwa ia sebagai parti Islam, maka seolah-olah mereka sahajalah yang berjuang Islam.

Bagaimana dengan orang Islam yang lain seperti Umno yang juga berjuang Islam? Penggunaan nama Islam bukan bererti penafian mutlak ke atas hak orang lain yang beragama Islam, kerana melaksanakan tuntutan Islam berbeza di antara individu dan juga kumpulan.

Ada individu yang melaksanakan tuntutan Islam di tahap minima dan apa pula di tahap maksima.

Begitu juga dengan parti politik. Ada parti politik yang meletakkan dasarnya untuk melaksanakan Islam secara syumul dan ada parti politik yang tidak berbuat demikian.

Maka bagi mereka yang menolak perlaksanaan Islam secara syumul tidak seharusnya membuat kecoh.

Mereka juga boleh menambah perkataan Islam di dalam parti politik mereka. Sebagai contoh: Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu boleh ditambah perkataan Islam di dalamnya seperti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Islam Bersatu (PERKEMIBAR) atau Umno diubah kepada UIMNO" (United Islamic Malay National Organisation)

Persoalannya, PAS memakai nama Islam dalam gerakan politik adakah salah atau haram dari segi hukum syara'. Adakah di sana terdapat nas-nas yang sahih melarangnya berbuat demikian.

Apa yang perlu diingati bahawa menegakkan negara Islam bukanlah merupakan salah satu rukun Islam, tetapi ia adalah suatu yang wajib dilakukan dan sebahagian dari fardhu kifayah.

Oleh kerana ia fardhu kifayah kewajipan ini akan gugur dari semua rakyat bilamana ada kumpulan yang mewujudkannya.

Sekiranya tidak ada sesiapa yang mewujudkan atau berusaha ke arah itu, maka seluruh rakyat akan menanggung dosa (Dr Mustafa Farghali al-Shuqairi: Fi Wajh al-Muamarah `Ala Tatbiq al-Syariah al-Islamiyyah).

Dalam hubungan ini seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam hendaklah bersyukur kerana dengan penglibatan PAS bagi mewujudkan negara dan masyarakat Islam di mana hukum Allah dilaksanakan di dalamnya telah menolong menyelamatkan mereka dari dosa kerana tidak melaksanakan fardhu kifayah.

Oleh kerana mewujudkan negara Islam adalah wajib maka kewajipan ini tidak akan terlaksana kecuali melalui perantaraan gerak kerja yang teratur dan releven yang dikenali sebagai organisasi politik (dalam kontek hari ini).

Adalah tidak salah jika dikatakan mendukung politik Islam dengan tujuan mewujudkan negara dan masyarakat Islam adalah wajib. Pandangan ini adalah diasaskan kepada kaedah fiqh:

"Apa yang tidak boleh disempurnakan sesuatu yang wajib kecuali dengan (perkara lain) maka perkara lain tadi juga dikira sebagai wajib."

Dasar Islam Dalam PAS

1. Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredaan Allah.

2. Mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.

3. Menyeru umat manusia kepada syariat Allah dan Sunnah Rasul-Nya melalui dakwah secara lisan, tulisan dan amalan.

4. Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syariah serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai keIslamanan dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan.

5. Memupuk dan memperkuatkan ukhuwah Islamiyyah dan menyuburkan rasa perpaduan di kalangan rakyat bagi memelihara kehidupan politik dan masyarakat yang sihat dan berkebajikan.

6. Mengajak dan menggalakkan badan-badan pertubuhan-pertubuhan dan orang-orang perseorangan bagi mengenali, memahami serta memperjuangkan konsep dan pandangan hidup Islam.

7. Memperjuangkan wujudnya kehidupan negara berasaskan nilai-nilai yang tidak bercanggah dengan ajaran-ajaran Islam.

8. Memperjuangkan hak dan kepentingan umat Islam di negara ini tanpa mengabaikan tanggungjawab melaksanakan keadilan terhadap seluruh rakyat Malaysia.

Dasar di atas adalah terkandung di dalam perlembagaan PAS. Adakah dasar serupa terkandung di dalam perlembagaan Umno yang mendakwa mereka lebih betul dan tepat memperjuangkan Islam?

 
posted by DPP Kawasan Setiu at 4:34 PM | Permalink |


0 Comments: